|
 |
| Peta pentadbiran Bahagian
Sri Aman |
Sejarah
Sebelum pengisytiharaan Daerah Betong sebagai sebuah Bahagian yang kesebelas pada
26 Mac 2003, Bahagian Sri Aman mempunyai empat daerah: Daerah Sri Aman, Lubok
Antu, Betong dan Saratok serta sembilan daerah Kecil: Daerah Kecil Pantu, Lingga,
Maludam, Engkilili, Spaoh, Debak, Pusa, Roban dan Kabong.
Setelah Betong diisytiharkan sebagai Bahagian baru, sekarang bahagian Sri Aman
hanya tinggal dengan dua daerah iaitu Sri Aman dan Lubok Antu dan tiga daerah
kecil, iaitu Daerah Kecil Pantu, Lingga dan Engkilili.
Bahagian Sri Aman mempunyai keluasan kira-kira 6,184.1 kilometer persegi yang
diliputi oleh kawasan tanah rata dan berbukit. Bandar Sri Aman terletak kira-kira
193 kilometer ke timur Bandaraya Kuching
Bahagian Sri Aman mempunyai kira-kira 88,006 orang penduduk yang terdiri daripada
pelbagai kumpulan etnik. Kumpulan Etnik yang terbesar adalah Iban yang berjumlah
58,066 orang (65.7%), Melayu 18,442 orang (20.9%), Bidayuh 526 orang (0.6%), Melanau
262 orang (0.3%), Bumiputera lain 151 orang (0.2%), Cina 10,524 orang (1.1.9%)
dan bukan Bumiputera lain 35 orang (0.0%), manakala bukan warga negara pula seramai
435 orang (0.5%)
Pejabat Residen Sri Aman secara rasminya ditubuh pada 1.6.1873 dan bertempat di
tingkat atas Kubu Alice. James Brooke Crookshank dilantik sebagai Residen pertama
Simanggang (nama lama Sri Aman). Kewujudan Pejabat Residen di Simanggang menandakan
kekuasaan Kerajaan Negeri di kawasan tersebut ketika itu.
Menurut cerita Simanggang mendapat nama kononnya daripada seorang Pedagang Cina
yang bernama Ah Song yang menjual barang keperluan menggunakan perahu di persekitaran
penempatan Batang Lupar. Penduduk tempatan memanglah mengguna bahasa tempatan
untuk berkomunikasi di antara satu sama lain.
Dengan demikian pedagang Cina ini juga berusaha menggunakan bahasa tempatan setakat
yang termampu. Pada satu hari datanglah seorang Iban dari Batang Ai yang hendak
berjumpa dengan Ah Song yang sudah lama tidak berkunjung ke tempat mereka. Lalu
bertanyalah seorang Iban tersebut kepada kawan karip Ah Song:
Dini alai Ah Song Tanya beliau.
" Udah Si Manggang jawabnya sambil bergurau.
Dalam bahasa Cina Si bermaksud mati dan dalam bahasa Iban
pula manggang (magang) bermaksud semua. Jadi Si
Manggang bermaksud sudah mati semua. Ringkasnya selepas itu
apabila mereka hendak berjumpa dengan Ah Song mereka akan memberitahu bahawa mereka
hendak ke tempat yang bernama Simanggang.
Bandar Sri Aman Lama
 |
| Pemandangan udara di Bandar
Sri Aman |
Bandar Simanggang ditukar nama dengan
secara rasminya kepada Bandar Sri Aman berikutan dengan peristiwa yang bersejarah
iaitu Deklarasi Sri Aman. Peristiwa yang berlaku pada 21.10.1973 ini telah menyaksikan
termeterainya satu perjanjian keamanan di antara Kerajaan Sarawak dengan pihak
Komunis Sarawak, yang menamatkan penentangan bersenjata oleh pihak komunis di
sini.
Ekonomi
Pertanian dan perikanan merupakan sektor yang amat penting di bahagian ini kerana
bahagian ini tidak mempunyai sumber asli seperti gas, minyak dan sebagainya.
Namun begitu sumbangan daripada sektor perhutanan juga kian berkurangan. Oleh
itu kegiatan peladangan kelapa sawit, penanaman padi dan perusahan perikanan
darat adalah aktiviti yang amat penting untuk bahagian ini. Jenis tanaman lain
yang diusahakan penduduk di sini adalah getah, lada kelapa, Sagu dan koko.
Ladang Kelapa Sawit
Peladangan kelapa sawit mula diusahakan oleh SALCRA di Lubok Antu pada tahun
1976, dan kini pihak SALCRA telah menanam kawasan seluas 11,347 hekta (ha) dalam
4 buah ladang. SALCRA juga telah mengusahakn penanaman getah di kawasan seluas
1053 ha di Skim Penempatan Semula Batang Ai.
Selain itu rancangan untuk memajukan Tanah Adat Bumiputera (NCR) seluas 300,000
ha di Undup dan Bukit Bangunan telah diluluskan. Pihak Swasta juga akan mengusahakan
penanaman kelapa sawit di pelbagai kawasan seluas 23,305 ha. Usaha untuk menanam
padi dan sago oleh pihak swasta dirancangkan. Sebuah kilang yang mempunyai keupayaan
90MTFFB/HR kepunyaan SALCRA telah pun beroperasi di Lubok Antu .
 |
| Empangan hidro elektrik Batang
Ai mampu menghasilkan 92 megawat kuasa elektrik bagi keperluan negeri Sarawak |
Hidroelektrik Batang Ai
Lubok Antu, Pusat Pentadbiran Daerah telahpun menikmati rangkaian jalan raya
yang baik ke bandar-bandar yang lain di Sarawak. Di samping itu bandar ini bakal
menjadi sebuah bandar sempadan seperti Tebedu yang akan mengendali aktiviti
kawasan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.
Lubok Antu terletak hanya 16 km dari sebuah penempatan yang dikenali sebagai
Badau di Kalimantan. Ini akan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi di daerah tersebut.
Berdekatan dengan Bandar Lubok Antu terdapat sebuah empangan hidroelekterik
yang pertama di Sarawak, Hidroeletrik Batang Ai yang telahpun beroperasi sejak
sepuluh tahun yang lalu.
Empangan Hidroelektrik Batang Ai boleh menjana kuasa sebanyak 92 megewatt untuk
menampung keperluan elektrik domestik dan disalurkan
ke seluruh negeri Sarawak. Perlaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan
tersebut telah menghalau kemiskinan dan kemunduran daripada mencengkami
dan menghantui penduduk di situ.
Kawasan Stumbin/Bigat/Lingga/Banting di Daerah Sri Aman yang meliput kawasa
seluas 7,000 ha sedang dikaji untuk penanaman padi dengan kaedah Mechanisation.
Di samping perancangan dan pembangunan pertanian di atas, perusahaan aquakultur
sedang juga diusahakan. Di Batang Ai perusahaan pembiakan ikan dalam sangkar
telah diusahakan dan pada tahun 2001 telah menghasilkan 443,170 kg ikan.
Perusahaan kolam udang harimau juga telah diusahakan di Daerah Kecil Lingga
oleh pihak swasta di samping usaha untuk membiak baka ikan Terubok juga terdapat
di Lingga.
Pusat Pertumbuhan Desa
Dua kawasan sedang dikaji untuk dicadang sebagai Pusat Pertumbuhan Desa. Kawasan
kawasan tersebut adalah di Nanga Kasit/Engkari di Daerah Lubok Antu dan
Seduku/Stumbin/Tanjung Bijat di Daerah Sri Aman. Kalaulah cadangan untuk kedua-dua
kawasan ini diluluskan, pembanguanan di pusat-pusat tersebut akan lebih pesat.
Pembangunan
 |
| Tebingan sungai menjadi tarikan
pengunjung khususnya di hujung minggu |
Dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (Negeri)
Bahagian Sri di peruntukan sejumlah RM 433,195,250 untuk membiayai 146 projek
di pelbagai Sektor. Daripada peruntukan tersebut Daerah Sri Aman mendapat peruntukan
sejumlah RM397,811,250 dan Daerah Lubok Antu mendapat peruntukan RM35,384,000
dalam tahun 2003. Di samping itu Bahagian Sri Aman juga diperuntukan sebanyak
RM84,170,118 untuk membiayai 80 projek Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2003.
Tarikan dan Pelancongan
Pesta Benak
Bandar Sri Aman terkenal dengan fenonema Benak satu kejadian semulajadi
yang menakjubkan. Benak atau ombak besar yang mengalun membawa air pasang di
Batang Lupar boleh dilihat mengikut tarikh catatan paras air tinggi
di dalam Sarawak Government Almanac. Seiringan dengan fenomena Benak, Pesta
Benak telah diadakan di Bandar Sri Aman mulai tahun 2000 dan pada tahun ini
ia akan diadakan pada 18-20 April 2003.
Buaya Ganas-Bujang Senang
Batang Lupar adalah sebatang sungai yang terbesar di Bahagian Sri Aman, ia bukan
sahaja terkenal kerana fenomena Benak tetapi juga kerana ia dihuni oleh buaya
ganas yang dikenali sebagai Bujang Senang. Sejak tahun 1941 Bujang Senang
dipercayai telah mengorban 28 nyawa. Walaupun usaha untuk memburu Bujang senang
dilakukan, dia tetap bersembunyi di Batang Lupar dan kekal menjadi satu misteri
sihingga ke hari ini.
Tinggalan Sejarah
Kubu Alice
Dahulu Kubu Alice dikenali sebagai Kubu James sempena dengan nama Sir James
Brooke, Rajah Sarawak yang pertama. Kubu James ini dibina di Sekrang kira-kira
lima batu ke hulu Bandar Sri Aman. Selepas Peperangan Beting Maro dan tambahan
pula tapaknya di Sekrang sering mengalami banjir,
maka Kubu James dipindah ke lokasi yang baru di Bandar Sri Aman pada 1864. Pada
Tahun 1870 nama Kubu James ditukar kepada Kubu Alice sempena dengan nama Pemaisurinya
Margeret Alice.
Pejabat Residen ditubuhkan pada 1 Jun 1873 dan bertempat di tingkat atas Kubu
Alice. Terdapat satu amalan yang amat dipatuhi selama seratus tahun sehingga
Sarawak mencapai kemerdekaan melalui penubuhan Malaysia. Amalan tersebut adalah
satu teriakan dibuat pada setiap pukul lapan malam apabila Residen hendak makan
malam. Anggota keselamatan yang berkawal di situ akan memukul gong tepat jam
lapan malam dan jambatan sorong pun di tarik balik. Teriakan mereka:
Oh Ha! Oh Ha! Oh Ha!
Jam sudah pukul lapan. Tangga sudah ditarik. Pintu sudah ditutup.
Orang dari Hulu, Orang dari Hilir, tidak dibenarkan naik ke kubu lagi
Penempatan semula kubu Alice ke Simanggang telah memperkuatkan lagi kedudukan
Raja Brooke di kawasan Batang Lupar kerana ia adalah lokasi yang strategik untuk
mengawal pergerakan dari sungai Sekrang dan Batang Ai dan juga dijadikan pusat
pentadbiran. Para Pentadbir yang ditempatkan di Kubu Alice terdirilah daripada
seorang pegawai tempatan (Native Officer) yang juga ketua tempatan yang berpengaruh
di samping setia kepada Rajah dan juga anggota separa tentera.
Pada 1.6.1873 Pemerintah Rajah Brooke telah menubuh tiga Residensi: Residensi
Pertama (Bahagian Kuching) Residensi Kedua (Bahagian Sri Aman) dan Residensi
Ketiga (Bahagian Sibu). Residensi Kedua telah ditempatkan di Kubu Alice sebagai
pejabatnya.Penubuhan Kubu dan Pemerintahan di Simanggang amatlah berkesan untuk
menamatkan pemberuntakan di kawasan Batang Lupar. Sehubungan dengan itu dua
Perjanjian Damai Dayak yang bersejarah telah pun diadakan pada 4 Ogos 1920 dan
juga pada 1 Februari 1924.
 |
| Benak antara produk
pelancongan yang terdapat di sini yang telah dimasukkan ke dalam kalendar
pelancongan negeri |
Rumah Sri Aman
Bangunan kedua bersejarah di Bandar Sri Aman adalah Rumah Segi-Lapan dan kemudian
namanya diubah kepada Rumah Simanggang dan akhirnya diubah kepada Rumah Sri
Aman pada 19.3.1974 sempena dengan Deklarasi Sri. Perjanjian tersebut telah
dimenteraikan di bangunan ini. Sebagai memperingati peristiwa tersebut
,bangunan ini dinamakan Rumah Sri Aman.
Pengangkutan
Melalui rangkaian jalan raya yang baik dari Bandaraya Kuching ke Bandar Miri,
Bandar Siri Aman boleh dihubungi oleh bandar-bandar lain di Sarawak. Bahagian
Sri Aman juga mempunyai rangkaian jalan raya dalaman yang baik yang menghubungkan
bandar ini dengan bandar dan pekan lain dalaman bahagian. Dengan rangkaian jalan
raya yang baik, pengangkutan darat amatlah penting untuk Bahagian Sri Aman.
Pengangkutan air melalui Batang Lupar misalnya, sering menemui pelbagai halangan
seperti sungai yang cetik, alunan ombak benak yang merbahaya kepada perahu-perahu.
Pendidikan
Bahagian Sri Aman mempunyai 164 buah sekolah rendah, 17 buah sekolah menengah
dan dua buah sekolah khas. Dari segi jumlah bilangan pelajar pula, Sekolah Rendah
mempunyai 28,411 orang murid dan Sekolah Menengah seramai 16,595 orang manakala
Sekolah khas, 19 orang murid.
Bandar Sri Aman
Pengecilan kawasan Bahagian Sri Aman disebabkan pembentukan Bahagian Betong
akan memudahkan dan mempercepat pembangunan di kedua-kdua bahagian
Bagi Bahagian Sri Aman, Pembangunan Tanah khasnya peladangan kelapa sawit oleh
sektor awan dan swasta akan meningkatkan dan merangsangkan pembangunan bahagian
di samping boleh menjana aktiviti ekonomik sampingan.
Bandar Sri Aman akan meniknmati kadar pertumbuhan yang agak cepat seandainya
Bandar ini tidak lagi di lencongi (by-pass) oleh rangkaian jalanraya utama yang
menhubungi Bandar-bandar lain di negeri Sarawak
Meskipun kawasan Bahagian lebih kecil, Pentadbiran dan pengurusan kekal mencabar
malahan aktiviti pengurusan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih focus
dan berkesan
Jika semua projek yang dicadang dan dirancangkankan dapat direalisasikan dalam
jangka masa 10-15 tahun akan datang Bahagian Sri Aman akan menjadi sebuah bahagian
yang maju setanding dengan Bahagian-bahagian maju yang lain di Sarawak.
|