Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Pengangkutan Air (Bahagian Akhir)
- Bahagian 1 telah diterbitkan dalam keluaran September 2003

Para pemilik bot dan kapal yang menggunakan jalan sungai perlu mendaftar dengan LSS
Rata-rata bot ekspres yang beroperasi ketika ini mampu memuatkan lebih daripada 100 penumpang dan yang terbesar setakat ini mampu memuatkan seramai 192 orang penumpang. Sungguhpun demikian, ruang dalaman yang luas dan tempat duduk yang selesa menjadikan perjalanan yang jauh terasa singkat dan tidak membosankan.

Penumpang juga diberi pilihan untuk membeli tiket kelas satu (ruang yang luas) atau kelas ekonomi (keluasan sederhana) mengikut keinginan masing-masing. Ini menjadikan perkhidmatan itu lebih sistematik dan mesra pengguna dibandingkan dengan keadaan dahulu yang mana penumpang akan berasak-asak mengambil tempat duduk. Ditambah pula dengan enjin bot penumpang yang lebih berkuasa iaitu kira-kira 28 hingga 32 knot pada hari ini berbanding pada era 90-an, rata-rata kuasa enjin ketika itu adalah antara 25 hingga 28 knot. Banyak juga bot yang dipasang dengan enjin berkembar yang menjadikan masa perjalanan yang jauh menjadi singkat. Misalnya, perjalanan dari Sibu ke Kapit hanya mengambil masa kira-kira tiga jam berbanding dahulu yang memakan masa lebih kurang lima jam.

Dari Kuching ke Sibu pula hanya mengambil masa kira-kira empat jam berbanding enam jam, 10 tahun lalu. Malahan, pembinaan jeti atau lebih dikenali sebagai ‘terminal’ yang moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan ketika menunggu menjadikan kemudahan sokongan untuk pengangkutan itu lebih selesa. Tahap keselamatan di semua bot dan kapal juga diambil berat, termasuklah penguatkuasaan undang-undang daripada pegawai penguasa LSS dan Jabatan Laut dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini kepada semua pengguna jalan sungai di negeri ini.

Sungai dan Jeti

Sarawak mempunyai 55 batang sungai dan daripada jumlah itu, sebanyak 32 batang sungai (sehingga tahun 2001) telah digazet yang bermakna bahawa pemilik bot atau kapal adalah tertakluk di bawah Ordinan Sungai-Sungai Sarawak, 1993 dan perlu mematuhi peraturan-peraturan
yang telah ditetapkanapabila menggunakan sungai berkenaan.

Sementara itu, terdapat kira-kira 78 buah jeti dan dermaga yang diletakkan di bawah kuasa LSS di seluruh Sarawak ( Jadual 1) berbanding 83 buah pada tahun 1993. Daripada jumlah itu, 32 buah jeti dan dermaga yang beroperasi tahun lalu mempunyai kemudahan untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Penurunan bilangan jeti dan dermaga dipengaruhi oleh kewujudan jaringan jalan raya yang telah mengambil alih peranan pengangkutan sungai. LSS mengkategorikan jeti/dermaga kepada dua jenis iaitu yang dimiliki oleh individu dan yang digazetkan. Jeti/dermaga individu adalah yang dimiliki secara persendirian dan selalunya digunakan untuk tujuan perikanan. Sementara itu, jeti/dermaga LSS ialah jeti/dermaga yang telah digazetkan dan diletakkan di bawah jagaan dan selenggaraan LSS.

Sejumlah RM1.25 juta telah diperuntukkan kepada LSS pada tahun 2002 untuk membaikpulih dan menjaga jeti/dermaga di seluruh Sarawak. Nilai berkenaan adalah sama dengan nilai yang diperuntukkan pada tahun 2001. LSS berperanan untuk memantau dermaga individu tetapi tidak mempunyai kaitan dalam hal penjagaannya.

Berdasarkan rekod LSS, setakat 31 Disember 2002, terdapat 3,137 unit pengangkutan air yang berdaftar dan mempunyai Permit Pengangkutan Sungai
(RTP). Pecahan mengikut jenis dan tempat dapat dilihat dalam Jadual 2. Daripada jumlah bot penumpang yang ditunjukkan dalam Jadual 1, sebanyak 260 buah adalah terdiri daripada bot ekspres penumpang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 170 buah didaftarkan di Sibu, 80 buah di Miri dan 10 buah di Kuching. Sepanjang tahun lalu, seramai kira-kira 2,728,815 orang yang direkodkan telah menggunakan perkhidmatan 260 buah bot ekspres penumpang berkenaan.

Bilangan pengangkutan air yang ditunjukkan itu adalah daripada sumber LSS. Bilangan kapal-kapal besar seperti kapal kargo yang menjalankan perkhidmatan ke luar negeri adalah di luar bidang kuasa LSS kerana ia adalah di bawah jagaan Jabatan Laut.

Sungguhpun demikian, statistik pengangkutan air yang berdaftar di Sarawak khususnya bot penumpang ketika ini didapati telah menurun sebanyak kira-kira 40 peratus berbanding awal tahun 90-an. Implikasinya terhadap bilangan penumpang dalam tempoh yang sama juga ketara memandangkan kekerapan operasinya telah berkurangan. Keadaan itu telah dipengaruhi oleh pembangunan sistem pengangkutan darat (jalan raya) yang bertambah baik di seluruh negeri ini.

Misalnya, perkhidmatan bot ekspress dari Sarikei ke Sibu dan sebaliknya yang tidak lagi beroperasi hari ini kesan daripada kewujudan jaringan jalan raya
yang baik dan lebih cepat menghubungkan kedua-dua kawasan. Jambatan Tubau di Bintulu yang telah siap juga menyebabkan kini hanya tinggal dua buah bot ekspres yang beroperasi di kawasan itu.

Sungguhpun demikian, perkhidmatan yang menghubungkan Kuching ke Sibu masih lagi mendapat sambutan daripada masyarakat hari ini sungguhpun terdapat jaringan jalan raya dan udara ke sana. Kos yang efektif iaitu kira-kira RM30 bagi perjalanan sehala di samping keselesaannya adalah daya penarik kepada pengguna. Masa untuk sampai ke sana adalah kira-kira empat setengah jam berbanding pengangkutan darat yang mengambil masa kira-kira enam jam. Suasana yang berbeza dapat dilihat di Sibu yang menghubungkan Kapit, Song dan Belaga dan Miri (Baram, Marudi dan Long Lama).

Pengangkutan air terutama melalui jalan sungai amat penting hinggalah ke hari ini kerana tiada alternatif lain bagi masyarakat di kawasan itu. Keadaan itu
telah menggalakkan persaingan positif di antara penyedia perkhidmatan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna masing-masing.

Kemudahan jeti yang selesa disediakan
untuk orang ramai
Keselamatan di Sungai

Peranan air sungai sebagai laluan kapal dan bot menyebabkan pengambilan langkah-langkah keselamatan dan penjagaannya menjadi penting. Antaranya, bahan-bahan mudah hanyut seperti batang kayu dan jirim besar termasuk sampah sarap perlu dipastikan tidak mengganggu perjalanan kapal dan bot yang melalui laluan sungai.

Perkara itu turut menarik perhatian kerajaan pusat apabila telah menyumbang kepada kerajaan negeri peruntukan tambahan awal sebanyak RM4 juta bagi tujuan khas untuk melaksanakan Program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Batang Rajang pada tahun 2002.

Program itu membantu memastikan setiap aktiviti pembangunan yang dijalankan di dalam Lembangan Batang Rajang, termasuklah Projek Bakun, tidak akan menjejaskan kualiti air serta kegunaan berfaedah Batang Rajang. Ia merupakan satu program pemuliharaan dan peningkatan kualiti air yang berbentuk jangka panjang dan yang pertama di negeri ini.

Pelaksanaan komponen-komponen dan aktiviti-aktiviti di bawah program ini telah dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke Lapan dan akan berterusan sehingga ke Rancangan Malaysia ke Sembilan.

Salah satu tragedi hitam yang pernah tercatat dalam sejarah pengangkutan di Sarawak ialah kapal M.V Pulau Kidjang, kapal pengangkut penumpang dan kargo yang karam di muara Rejang (perairan Tanjung Jerijeh) pada Disember 1973. Dalam kejadian itu, Pulau Kidjang yang dipercayai mampu memuat seramai 150 penumpang telah mengorbankan 121 nyawa penumpang dan hanya 38 orang terselamat. Kejadian berlaku disebabkan keadaan cuaca yang buruk ketika pelayaran.

Sudah tentu kita tidak mahu kejadian sebegitu berulang pada masa depan. Sebab itu, tahap keselamatan atau langkah berjaga-jaga terutamanya dalam bot-bot dan kapal-kapal penumpang harus sentiasa diambil berat. Misalnya, pemilik kapal perlu memastikan jaket keselamatan sentiasa disediakan dan berada dalam keadaan yang sempurna.

Peraturan-peraturan baru juga diperkenal dari semasa ke semasa sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan semua pengguna cara pengangkutan itu. Pemilik bot atau kapal yang menggunakan sungai yang telah digazet (tertakluk dalam Ordinan Sungai-Sungai Sarawak, 1993) perlu mempunyai Permit Pengangkutan Sungai (RTP) yang dikeluarkan oleh LSS. Jika didapati tidak mempunyai permit yang sah, mereka boleh dipenjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM2 ribu (Ordinan Sungai-Sungai Sarawak, 1993, (Bahagian IV, Seksyen 14)).

Perbandingan jumlah pengangkutan air yang berdaftar seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 dan Jadual 2 menunjukkan perkembangan yang positif memandangkan semakin ramai pemilik bot atau kapal menyedari kepentingan RTP dan berusaha mendapatkannya agar tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Sumbangan
Penggunaan bot ekspress begitu penting untuk menghubungkan kawasan yang tiada jalan raya


Tanpa sistem pengangkutan yang sempurna tidak mungkin aktiviti seharian manusia dapat dilaksanakan. Dalam konteks Sarawak, pengangkutan air memainkan peranan yang amat penting sungguhpun terdapat sistem pengangkutan udara dan darat. Misalnya aktiviti perdagangan amat bergantung kepada jalan laut untuk mengangkut barang-barang ke luar negeri dan luar negara.

Berbalik kepada sistem pengangkutan air sungai, peranannya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat di samping sebagai cara pengangkutan harian khususnya di kawasan pedalaman negeri ini amat jelas.

Masyarakat tani khususnya di pedalaman Bahagian Kapit dan Miri amat bergantung kepada kaedah itu untuk membawa hasil pertanian mereka ke bandar. Misalnya dari Song ke Sibu dan dari Belaga ke Kapit. Perkhidmatan yang efektif amat diperlukan dalam keadaan ini memandangkan hasil pertanian perlu dipasarkan dalam keadaan segar.

Masyarakat di bandar-bandar seperti Sibu, Kapit dan Miri mendapat manfaat hasil daripada penjualan hasil pertanian dan produk kampung yang lain (seperti kraftangan) kerana kebiasaannya para penduduk akan menjual secara terus kepada pengguna.

Di samping itu, jalan sungai juga perlu untuk membawa barang-barang keperluan harian yang lain dari bandar ke kawasan petempatan masyarakat. Sementara itu, kos yang efektif memberi manfaat kepada masyarakat berbanding kaedah pengangkutan melalui udara yang agak mahal. Misalnya, pemberhentian operasi lapangan terbang Kapit suatu ketika dahulu disebabkan persaingan daripada perkhidmatan bot-bot ekspress di situ. Kepentingan pengangkutan air bukan sahaja amat diperlukan oleh masyakat bahkan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang turut bergantung kepada kaedah pengangkutan itu untuk menggerakkan para pegawai dan menjalankan urusan pentadbiran mereka.

Kepentingan kaedah pengangkutan air, khususnya melalui sungai dan pesisir pantai di Sarawak telah sekian lama menarik perhatian kerajaan untuk terus membangunkan kemudahan itu di negeri ini. Tetapi sejauh mana penggunaannya kelak sebagai keperluan harian masyarakat setelah jalan-jalan pesisir, jalan raya dan perkhidmatan udara yang menghubungkan kawasan-kawasan pedalaman di negeri ini bertambah baik?

Situasinya mungkin sedikit berbeza daripada yang dilihat hari ini tetapi yang pasti ialah ia akan terus memberi alternatif pengangkutan kepada masyarakat seterusnya membantu menjana pembangunan ekonomi negeri.



Jadual 1 Bilangan Jeti dan Dermaga Mengikut Lokasi (Sehingga 31 Disember 2002)

Bahagian Bilangan (buah) Sungai
Kuching 7 Sg. Sarawak, Sg. Sematan & Btg. Kayan
Sri Aman 2 Btg. Lupar
Sibu 19 Btg. Rajang, Btg. Balingian, Btg. Oya
& Btg. Mukah
Miri 8 Sg. Miri & Btg. Baram
Limbang 7 Sg. Limbang & Sg. Lawas
Sarikei 9 Btg. Rajang
Kapit 9 Btg. Rajang
Bintulu 15 Btg. Kemena & Btg. Tatau
Samarahan 2 Btg. Sadong
Jumlah 78  
Sumber: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)



Jadual 2 Bilangan Pengangkutan Air yang Berdaftar di Sarawak Mengikut Jenis (Sehingga 31 Dis.2002)


  Kargo Bot penarik Penumpang* Jumlah
Wilayah 1 (Kuching) 174 70 150 394
Wilayah 2 (Sibu) 723 248 297 1268
Wilayah 3 (Miri) 697 505 273 1475
Jumlah 1594 823 720 3137
Sumber: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)



Jadual 3 Bilangan Pengangkutan Air yang Berdaftar di Sarawak Mengikut Jenis (Sehingga 22 Jul.2003)

  Kargo Bot penarik Penumpang* Jumlah
Wilayah 1 (Kuching) 174 70 205 449
Wilayah 2 (Sibu) 742 262 297 1301
Wilayah 3 (Miri) 708 504 276 1488
Jumlah 1624 836 778 3238

Sumber: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)

* Terdiri daripada bot ekspres, feri, bot laju, bot penambang, perahu panjang dan lain-lain.
 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998